Penunggang maut selepas terpelanting dari motosikal dalam kemalangan
Bernama
Oktober 3, 2020 18:47 MYT
Oktober 3, 2020 18:47 MYT
LABUAN: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal berkuasa tinggi Benelli yang ditunggangnya melanggar tayar dekorasi di tepi jalan dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Miri/Sg Pagar di sini.
Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata kejadian berlaku semasa Fedelis Michaed, 22, dari Kuala Penyu, Sabah, sedang menunggang dari arah Kampus Antarabangsa Labuan, Universiti Malaysia Sabah menghala Kampung Layang-Layangan sekitar tengah malam tadi.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, motosikal itu dipercayai tergelincir sebelum melanggar tayar dekorasi di tepi jalan, yang mengakibatkan Fedelis terpelanting dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di bahagian kepala serta badannya.
Sementara itu di GEORGE TOWN, Pulau Pinang, polis menahan dua pemandu termasuk seorang pelajar kolej kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dua lelaki berusia 20 dan 29 tahun itu ditahan dalam operasi dari pukul 10 malam tadi hingga 5.00 pagi, dan kedua-dua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Katanya, dalam operasi itu polis turut menyita tiga motosikal kerana pelbagai kesalahan termasuk sebuah yang ditinggalkan ditepi jalan selepas penunggannya melarikan diri sebaik menyedari sekatan jalan raya dibuat di kawasan lebuhraya itu.
"Seramai 125 orang dengan 110 kenderaan diperiksa dalam operasi membabitkan 21 pegawai serta anggota polis, kami turut mengeluarkan 41 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya. - BERNAMA
#penunggang maut
#terpelanting dari motosikal
#kemalangan
#motosikal berkuasa tinggi
#Kampus Antarabangsa Labuan
#Universiti Malaysia Sabah