Penunggang maut, motosikal terlanggar binatang di Jalan Ipoh - Kuala Lumpur

Abd Razak Mohd Ali
Januari 24, 2021 11:52 MYT
Motosikal mangsa telah melanggar seekor binatang, dipercayai khinzir, dalam kejadian di Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, dekat Tapah, awal pagi ini. Foto PDRM
TAPAH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar seekor binatang, dipercayai khinzir, di Kilometer 59, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, dekat sini, awal pagi ini.
Mangsa, Muhammad Rasidi Shamsuddin, 35 tahun, yang mengalami kecederaan parah, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.05 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bidor.
Muhammad Rasidi bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa telah melanggar seekor binatang yang dipercayai khinzir.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#polis #maut #meninggal dunia #mayat #mangsa #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Tapah #R&R Tapah #langgar binatang #cedera parah #Wan Azharuddin Wan Ismail #restoran makanan segera #Jalan Ipoh - Kuala Lumpur
;