Penunggang maut, motosikal terbabas langgar hentian bas
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 24, 2021 23:05 MYT
Oktober 24, 2021 23:05 MYT
TAIPING: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas lalu terlanggar hentian bas di Kilometer 13.6, Jalan Kuala Sepetang - Taiping, di sini, hari ini.
Mangsa, seorang pekerja swasta, Mohamad Ridzuan Mohamad Dzahir, 28, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 2.25 petang yang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Honda Jazz.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dan pemandu kereta berusia 57 tahun dalam perjalanan menghala ke Taiping.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta sedang memandu di lorong kiri telah digesel oleh mangsa yang datang dari belakang sebelah kirinya menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan melanggar tempat hentian bas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Osman memaklumkan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, bedah siasat dijalankan selepas keputusan ujian COVID-19 diperolehi.
Tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.