Penunggang maut, isteri parah dirempuh kereta

Bernama
Januari 25, 2013 20:53 MYT
Seorang penunggang motosikal maut manakala isterinya cedera parah apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta di Km 63, Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, Pasak, di sini Jumaat.
Nazri Paino, 35, mati di tempat kejadian manakala isterinya, Sarizah Md Sharip, 34, cedera parah di kaki kanan dan badan, dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata ketika kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, Nazri dikatakan dalam perjalanan menghantar isterinya ke perhentian bas untuk ke tempat kerja di kawasan Perindustrian Lukut di Kota Tinggi.
"Motosikal yang dinaiki pasangan itu dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit," katanya kepada pemberita.
#dirempuh kereta #Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik #penunggang motosikal maut
;