Penunggang maut dalam nahas motosikal dan kereta di Simpang Pulai

Aida Aziz
Mei 5, 2023 20:56 MYT
Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera setelah motosikal yang ditunggang mereka dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza di Kampung Pos Raya, petang Jumaat. - Foto ihsan JBPM
SIMPANG PULAI: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera setelah motosikal yang ditunggang mereka dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza di Kampung Pos Raya, di sini petang Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang merupakan penunggang motosikal dikenali sebagai Nur Alia Supar, 25, maut di lokasi kejadian.
Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung nahas itu pada jam 5.25 petang tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi.
"Terdapat enam orang mangsa yang terbabit dalam kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital manakala pembonceng iaitu wanita berusia 24 tahun cedera.
"Manakala kesemua empat mangsa dari Perodua Alza selamat dan tidak cedera," katanya pada Jumaat.
Jelasnya lagi, komander operasi membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans hospital.
Katanya, mangsa yang maut pula diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Johari Muhamad itu tamat pada jam 7.18 malam.
#nahas motosikal dan kereta #penunggang #simpang pulai #JBPM Perak
;