Penunggang Grab selamatkan empat sekeluarga kemalangan
Hafiz Syazwan Sali
Julai 18, 2021 08:12 MYT
Julai 18, 2021 08:12 MYT
KUCHING: Empat sekeluarga terselamat selepas kereta yang dipandu seorang lelaki terbabas sebelum terbalik di dalam longkang sedalam tujuh meter di Jalan Camar, di sini pada Sabtu.
Kejadian berlaku sekitar jam 9.35 malam, dengan longkang tersebut turut berisi air.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mirza Dzalmira Miraj, kemalangan itu disedari seorang penunggang Grab serta beberapa orang awam yang berada berdekatan.
"Mereka kemudian bertindak pantas termasuk terjun ke dalam longkang yang tersebut untuk mengeluarkan mangsa.
"Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak," katanya.
Kata Mirza, sebelum itu pihak bomba telah mengatur gerak sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya menuju lokasi sejurus mendapat panggilan kecemasan.
"Setibanya pasukan di lokasi, kami dapati kesemua mangsa telah diselamatkan, dan mereka dibawa ke ambulans EMRS untuk rawatan awal, sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak," jelasnya lagi.
Kesemua mangsa katanya, hanya mengalami cedera ringan.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.