Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover': 'Reka bentuk lebuh raya SUKE penuhi spesifikasi' - Prolintas

Faida Rahim
Jun 15, 2023 14:07 MYT
Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang penunggang Ducati Panigale maut selepas tercampak dari motosikalnya sebelum terjatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 SUKE akibat mengelak motosikal melawan arus. - Gambar fail/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menegaskan reka bentuk Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) termasuk di kawasan selekoh jejambat memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa.
Syarikat itu, bagaimanapun mengambil langkah proaktif mengenal pasti beberapa langkah keselamatan tambahan untuk pengguna, berikutan kemalangan ngeri membabitkan penunggang motosikal berkuasa besar, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata pihaknya bersimpati dengan penunggang terbabit yang maut selepas terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang, ketika mengelak sebuah motosikal yang melawan arus.
“Selepas berlaku kemalangan semalam pihak kami akan mewujudkan langkah tambahan. Dari segi reka bentuk memang semuanya memenuhi spesifikasi.
"Lebuh raya ini dibina mengikut spesifikasi tinggi yang telah disahkan pihak berkuasa dan juga pihak jurutera bertauliah.
“Langkah tambahan yang boleh dilakukan adalah dari segi keselamatan trafik seperti papan tanda amaran tambahan di tempat strategik selain hebahan media, untuk menghindar kejadian sama berlaku di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan SUKE Fasa 2 di Plaza Tol Alam Damai pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya pihaknya sudah menyerahkan bukti kejadian berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Kita sedia maklum di media sosial dan media massa, kejadian berlaku disebabkan sebuah motosikal pengguna yang menunggang melawan arus.
“Pihak kami telah menyerahkan segala bukti kejadian melalui sistem kawalan keselamatan yang ada sepanjang lebuhraya SUKE ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan” katanya.
Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari semalam, penunggang Ducati Panigale berkenaan, maut selepas tercampak dari motosikalnya sebelum terjatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 SUKE.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh.
"Mangsa kemudian cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, namun dia kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter, manakala motosikal yang ditunggangnya telah terseret ke tengah jalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Smart Sungai Klang.
#Lebuhraya SUKE #penuhi spesifikasi #penunggang ducati maut #lawan arus
;