Penunggang basikal syorkan laluan motosikal di lebuh raya utama dikhaskan pada hujung minggu
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 4, 2021 11:54 MYT
Januari 4, 2021 11:54 MYT
KUALA LUMPUR: Penunggang basikal menggesa agar pihak berkuasa membenarkan penggunaan laluan motosikal di lebuh raya utama sebagai laluan khas buat mereka pada hujung minggu.
Perkara itu disuarakan Pengasas Komuniti Plan A Bukit Jelutong, Faz Adhili dalam usaha memastikan aspek keselamatan penunggang basikal terjamin.
“Saya mengesyorkan pada hari hujung minggu, laluan motosikal di lebuhraya utama seperti Guthrie, Kesas, dan Persekutuan ditutup khas untuk penunggan basikal.
“Ini kerana pada hari minggu aliran trafik di laluan motosikal terutamanya di Lembah Klang sangat rendah.
“Saya berpendapat ini adalah pendekatan yang sangat efektif dan berkesan dan ia memerlukan toleransi antara semua pihak untuk jayakannya,” katanya dalam program AWANI Pagi yang membincangkang aspek keselamatan berbasikal pada Isnin.
Jelasnya lagi, walaupun sudah ada laluan khas buat penunggang basikal di Shah Alam dan Kuala Kumpur, namun ia tidak dapat digunakan sebaiknya.
Malah katanya, kebanyakan laluan khas ini dihalang apabila ada kenderaan yang parkir di laluan itu manakala ada juga yang membuka warung kaki lima di kawasan tersebut.
Terdahulu, loceng dan lampu basikal sebelum ini langsung tidak laku, malah stok aksesori itu tersimpan sahaja selama berbulan-bulan.
Namun, selepas polis Putrajaya mewajibkan pemasangan loceng, brek dan lampu bermula 9 Januari depan jika ingin berbasikal di kawasan itu, ia laris bak pisang goreng panas.
#basikal
#laluan khas
#lebuhraya utama
#Faz Adhili
#Pengasas Komuniti Plan A Bukit Jelutong
#shah alam
#Kuala Lumpur