Penunggang basikal maut dirempuh kereta
Mohd Zalani Md Atan
April 18, 2022 09:10 MYT
April 18, 2022 09:10 MYT
LIPIS: Seorang penunggang basikal maut akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dan hilang kawalan dari arah hadapan dan memasuki laluan basikal ketika dalam perjalanan dari Benta ke Jerantut pada Ahad.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, Mohamad Awang, 66, seorang tukang kebun, yang berbasikal ke Jerantut untuk membeli keperluan dapur, telah dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah hadapan di kilometer 15 Benta-Jerantut.
Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital Lipis bagi menerima rawatan akibat kecederaan parah namun meninggal dunia pada jam 5.42 petang.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 62 tahun itu dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan terbabas dan memasuki laluan basikal tersebut.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan kerosakan kereta di mana lampu depan sebelah kanan pecah, bahagian depan kanan kemek dan kerosakan pemegang basikal dan rim tayar depan bengkok.
Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.