Penumpuan kuasa, kelemahan institusi punca tercicir keadilan - Sultan Nazrin

Bernama
November 9, 2024 11:10 MYT
Demokrasi yang sihat dan negara yang progresif, mengutamakan amalan perimbangan kuasa, menghormati amalan semak dan imbang antara tiga cabang kerajaan berkenaan, titah Sultan Nazrin. - Gambar Bernama
KUALA KANGSAR: Penumpuan kuasa yang keterlaluan atau kelemahan mana-mana institusi iaitu perundangan, eksekutif atau kehakiman boleh menjadi punca kepada ketempangan perjalanan negara dan menjurus kepada tercicirnya keadilan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Nazrin bertitah, penumpuan kuasa dan kelemahan ketara mana-mana institusi berkenaan juga mendorong kepada penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan perpecahan rakyat, berakhir dengan persengketaan rakyat, selanjutnya keruntuhan kerajaan.
"Demokrasi yang sihat dan negara yang progresif, mengutamakan amalan perimbangan kuasa, menghormati amalan semak dan imbang antara tiga cabang kerajaan berkenaan,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Sultan Nazrin bertitah, 67 tahun lepas, Malaysia dibina dengan falsafah kenegaraan yang mengutamakan semangat bekerjasama antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
Bagaimanapun, titah baginda, negara masih belum mencapai status sempurna.
"Pelayaran untuk mencapai tahap kesempurnaan tidak ada penghujungnya, tetapi bahtera negara akan mendampingi pelabuhan kesempurnaan jika pemimpin dan warga memilih untuk menyisihkan perbezaan dan mencari penyebut biasa.
"... pemikiran diilhamkan dengan sangka baik, dibenamkan sangka buruk yang didorong oleh nafsu, kerana sifat bersangka buruk itu bukan sahaja melihat yang jahat sebagai jahat, malangnya yang baik juga dilihat sebagai jahat, akibatnya penglihatan menjadi buta kebaikan,” titah baginda. - BERNAMA
#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #penumpuan kuasa #demokrasi
;