Penumpang pesawat MH17 tidak sedar keadaan yang berlaku
Bernama
Oktober 14, 2015 12:51 MYT
Oktober 14, 2015 12:51 MYT
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang Malaysia Airlines MH17 langsung tidak menyedari situasi mereka apabila pesawat berkenaan ditembak dengan peluru berpandu di timur Ukraine tahun lepas.
Lembaga Keselamatan Belanda berkata penumpang terdedah kepada faktor ekstrem yang berlaku hampir serta merta.
"Bergantung kepada pelbagai faktor seperti kedudukan penumpang di dalam kabin semasa detik impak, faktornya tidak sama bagi semua penumpang," kata lembaga itu dalam ringkasan laporan akhirnya setebal 20 muka surat mengenai kejadian MH17 terhempas.
Laporan itu dimuat naik melalui laman webnya hari ini di http://cdn.onderzoeksraad.nl/documents/brochure-mh17-crash-en.pdf.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 itu yang dalam penerbangan menuju Kuala Lumpur daripada Amsterdam terbunuh apabila pesawat berkenaan ditembak jatuh di ruang udara Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.
Lembaga tersebut melaporkan sejumlah penumpang dengan serta merta mengalami kecederaan parah yang menyebabkan kematian mereka.
"Bagi yang lain, mereka menjadi tidak sedarkan diri dalam sekelip mata. Tidak dapat dipastikan dengan tepat pada detik mana penumpang meninggal dunia, tetapi yang pasti impak di tanah menyebabkan tiada penumpang yang hidup," kata lembaga berkenaan.
Laporan tersebut memfokus kepada empat aspek iaitu punca kematian, isu penerbangan di kawasan zon konflik, sebab saudara mara mangsa warga Belanda terpaksa menunggu antara dua hingga empat hari untuk mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa Belanda sama ada orang kesayangan mereka berada di dalam pesawat dan akhirnya mengenai persoalan setakat mana penumpang berada dalam keadaan sedar semasa pesawat terhempas.
Laporan dikeluarkan selepas 15 bulan tragedi berlaku hasil siasatan bersama pihak Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.