Penumpang, kru MH1 cedera pesawat dilanda gelora udara
Astro Awani
Jun 5, 2016 22:09 MYT
Jun 5, 2016 22:09 MYT
Pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH-1 dari London menuju Kuala Lumpur mengalami gegaran udara yang menyebabkan beberapa penumpang dan anak kapal cedera.
Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata pesawat itu mengalami gelora udara stabil ketika berada di ruang udara Teluk Benggala.
Mangsa kejadian dilaporkan sudah menerima rawatan oleh pasukan keselamatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pesawat mendarat kira-kira jam 6 petang.
Sementara itu, Bernama melaporkan pengalaman ngeri seorang penumpang pesawat tersebut.
Wanita warga Singapura berusia dalam lingkungan 50-an itu menyangka beliau akan menemui ajal semasa gegaran menakutkan itu berlaku.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, berkata gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
"Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang...saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.
"Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut," katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.
Mary, yang tidak cedera dalam kejadian itu, ditemui semasa menemani temannya seorang warga Malaysia mendapatkan rawatan kerana kecederaan di tulang pinggul di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.
Beliau yang merancang bercuti beberapa hari di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Singapura, tidak menyangka akan menghabiskan masanya di Hospital Putrajaya selepas tiba dari London, lapor Bernama.
Setakat 10.30 malam ini, lima penumpang MH01 yang cedera telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.
Sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sejurus pesawat jenis Airbus A380 yang membawa 378 penumpang dan anak kapal itu mendarat di KLIA.
Kenyataan itu menyebut MAB telah membantu kesemua penumpang dan anak kapal serta memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan keadaan cuaca yang di luar kawalan.