Penumpang kereta maut dalam nahas babitkan bas ekspres

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 18, 2024 09:40 MYT
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam nahas di Kilometer 155.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Sungai Bakap. - Foto JBPM
NIBONG TEBAL: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Kilometer 155.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi Selasa.
Mangsa yang maut merupakan penumpang kereta berusia 30 tahun manakala pemandu berusia 40 tahun cedera di bahagian muka.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Gen-2 dan sebuah bas ekspres jenis Scania.
"Terdapat seorang mangsa telah tersepit di ruang penumpang dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang tersepit di ruang pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Polis Daerah Seberang Perai Selatan mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.
#Nahas #bas ekspres #PLUS #meninggal dunia
;