Penumpang gempar bot ekspres bocor
Bernama
Jun 2, 2019 04:22 MYT
Jun 2, 2019 04:22 MYT
Para penumpang sebuah bot ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Kapit gempar apabila bot yang mereka naiki mengalami kebocoran di bahagian belakang.
Kejadian itu dikatakan berlaku selepas bot itu melanggar penghadang besi di pontun jeti Kanowit pagi Ahad.
Asisten Kontroler Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Wilayah Tengah, Hatta Morshidi, yang mengesahkan insiden itu berkata berdasarkan maklumat kejadian tersebut berlaku semasa jurugan merapatkan bot ekspres itu ke pontun.
Bagaimanapun katanya, pemilik bot ekspres berkenaan tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak LSS.
"Esok kakitangan saya di Kanowit akan berjumpa dengan pemilik dan krew bot ekspres tersebut untuk menyiasat lebih lanjut insiden ini," katanya kepada Bernama pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Ar Rahman Chik ketika dihubungi memberitahu pihaknya turut tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian dan hanya memperolehi daripada saksi di tempat kejadian.
"Untuk makluman bot ekspres dari Sibu ke Kapit bocor awal pagi Ahad di Jeti Kanowit kemudian express tersebut di tarik ke tepi sungai bagi mengelakan express tersebut karam dan tengelam.Tiada mangsa lemas dilaporkan," jelasnya.
Sementara itu difahamkan, semua penumpang yang tidak dipastikan jumlahnya berjaya keluar daripada bot ekspres tersebut dengan selamat dan telah meneruskan perjalanan menggunakan sebuah bot ekspres lain.
-- BERNAMA