Penumpang feri tiada surat rentas sempadan tidak dibenarkan ke Langkawi

Adie Sufian Zulkefli
Januari 12, 2021 06:00 MYT
Penumpang yang ingin memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan menaiki feri ke pulau peranginan itu. -Gambar fail
ALOR SETAR: Penumpang feri terutama pelancong dari luar negeri Kedah yang ingin memasuki Pulau Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah dan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan menaiki feri ke pulau peranginan itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, ketegasan itu perlu diambil polis bagi membendung penularan COVID-19.
Jelas beliau, bermula Rabu, perjalanan feri hanya dibenarkan melalui Kuala Kedah sahaja selepas laluan melalui Kuala Perlis telah ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kedah.
Katanya, semua penumpang tempatan dan luar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mendaftar dengan MySejahtera, memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan sanitasi.
"Bagaimanapun pergerakan terminal feri ke Langkawi telah dikurangkan, saya difahamkan mungkin hanya satu perjalanan sehari.
"Setiap pergerakan memerlukan surat, kebanyakan pelancong ke Langkawi ini terdiri daripada pengunjung daripada luar," katanya.
Ahmad Shukri berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Alor Setar Utara, pada Selasa malam.
Malah, tegasnya, penumpang yang tidak mempunyai surat kebenaran akan dikenakan kompaun serta merta.
Bermula Rabu, hanya satu perjalanan pergi dan balik dari Kuala Kedah ke Langkawi akan beroperasi selama dua minggu.
Perkhidmatan feri keluar masuk dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di negeri Kedah.
#Langkawi #PKPB #pelancong #Ahmad Shukri Mat Akhir #perintah kawalan pergerakan #Terminal Feri Kuala Kedah
;