Penumpang feri dipercayai hilang selepas terjatuh
Astro Awani
Julai 1, 2019 22:58 MYT
Julai 1, 2019 22:58 MYT
Seorang penumpang Feri Pulau Kapas dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah feri yang sedang dalam perjalanan ke George Town pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, penumpang lelaki yang dikenali sebagai Tham Kok Keong, 47 tahun, dari Bayan Lepas, dikatakan terjatuh selepas 10 minit feri bertolak dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang penumpang yang berada di atas feri.
Menurut saksi, dia melihat mangsa terjatuh namun tidak dapat memastikan jantina serta identiti penumpang tersebut ketika itu.
Sementara itu, pemeriksaan oleh petugas feri di bahagian bawah dek mendapati, terdapat sebuah kereta jenis Honda City ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu didaftar atas nama seorang wanita Lye Ah Yin, 73 tahun, beralamat di Permatang Pauh.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dijalankan sehingga jam 8 malam ini sebelum dihentikan berikutan cuaca gelap.
Ops SAR akan bersambung semula jam 8 pagi esok.
#Bayan Lepas
#Butterworth
#feri
#Feri Pulau Kapas
#George Town
#jatuh
#kereta ditinggalkan
#Noorzainy Mohd Noor
#operasi
#Pangkalan Sultan Abdul Halim
#penumpang feri
#Permatang Pauh
#SAR
#Seberang Perai
#tanpa pemandu