Penumpang cemas, bas ekspres dua tingkat terbakar R&R Sungai Perak
Aida Aziz
September 8, 2019 15:28 MYT
September 8, 2019 15:28 MYT
Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah terbakar di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di sini pada Ahad.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kerana dua pemandu dan 12 penumpang bas tersebut sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.57 petang.
Katanya, sekumpulan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Meru Raya kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.
"Ketika jentera bomba tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak membakar bas ekspres dua tingkat itu.
"Anggota bertugas kemudiannya segera memadamkan kebakaran tersebut dan berjaya mengawalnya dalam tempoh 10 minit namun bas itu musnah hampir 80 peratus," katanya.