Penumpang berbogel, tonton filem lucah atas pesawat ditahan

Syakirah Zulkifly
Mac 5, 2018 09:20 MYT
Syarikat penerbangan itu akan terus berwaspada untuk memastikan penumpang terbang dengan selamat," kata kenyataan itu. - Gambar fail
Seorang lelaki warga Bangladesh telah ditahan selepas menimbulkan kekecohan dalam pesawat apabila berbogel dan menyerang kru penerbangan.
Insiden berkenaan berlaku dalam sebuah pesawat tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Dhaka pada Sabtu.
Lelaki berusia 20 tahun itu merupakan pelajar universiti swasta di Cyberjaya, dan difahamkan telah mula bertindak di luar kawalan selepas pesawat tersebut baru sahaja berlepas.
Difahamkan, suspek telah menanggalkan pakaiannya sambil menonton filem lucah melalui komputer ribanya.
Ketika pesawat berada pada ketinggian 10,000 kaki di udara, kru penerbangan telah menasihatkan lelaki berkenaan supaya memakai semula pakaiannya.
Bagaimanapun, selepas mematuhi arahan tersebut, suspek sekali lagi berkelakuan tidak senonoh dengan cuba memeluk seorang pramugari sewaktu dalam perjalanan ke tandas.
Dia kemudiannya diasingkan tempat duduk dan diikat kerana bertindak agresif selepas kru penerbangan memintanya untuk bertenang.
Sementara itu Malindo Air dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, kru penerbangan tersebut telah bertindak mengikut prosedur operasi standard dalam menahan penumpang daripada mencetuskan lagi gangguan di atas pesawat.
"Penumpang yang mengganggu itu diiringi oleh pasukan keselamatan Dhaka semasa tiba dan suspek telah dipenjarakan oleh pihak berkuasa di sana atas kesalahan ini.
"Syarikat penerbangan itu akan terus berwaspada untuk memastikan penumpang terbang dengan selamat," kata kenyataan itu.
#Bangladesh #Facebook #KLIA #Kuala Lumpur #Malindo Air #pelajar #penerbangan