Penumpang bas ekspres, pemandu treler cedera kemalangan

Bernama
Mac 17, 2017 22:43 MYT
Kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka dengan membawa 28 penumpang hari ini. - Foto Bernama
Seorang penumpang wanita sebuah bas ekspres dan pemandu treler cedera ringan dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Km30.6 arah utara Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan Kulai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Razak Md Said berkata kemalangan lebih kurang dua kilometer dari susur ke Plaza Tol Kulai itu berlaku kira-kira 3 petang tadi ketika hujan lebat.
"Mengikut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka dengan membawa 28 penumpang. Kemalangan menyebabkan bas ekspres itu terbabas ke kiri jalan.
"Kenderaan lain yang turut terlibat adalah sebuah treler, sebuah lori tiga tan, sebuah kereta jenis Mazda serta sebuah kereta jenis Toyota Innova," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Razak berkata siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan tersebut.
Beliau berkata kemalangan menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang kira-kira 18 kilometer, bermula dari Km12 (Plaza Tol Skudai) sehingga ke lokasi kejadian.
Katanya kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai, untuk rawatan. -- Bernama
#bas ekspres #kemalangan bas #Kulai #Lebuh Raya Utara Selatan #PLUS
;