Penumpang bas akui ramai tidak pakai tali pinggang keledar
Bernama
Disember 26, 2016 07:32 MYT
Disember 26, 2016 07:32 MYT
"Sepanjang tujuh jam perjalanan menggunakan bas setiap kali balik kampung, tiada penumpang yang kelihatan menggunakan tali pinggang keledar."
Pemerhatian itu dikongsi Mohd Noor Iqram Rosli, 25, yang sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai, Kelantan.
Beliau berkata walaupun ada bas yang mempunyai kemudahan tali pinggang keledar, penumpang tidak mengendahkan keperluan memakainya untuk keselamatan.
"Bas yang baharu menyediakan kemudahan tali pinggang keledar tetapi tidak digunakan sebaik-baiknya oleh penumpang memandangkan tiada pemantauan mahupun peringatan semasa berada dalam bas," katanya kepada Bernama.
Mohd Noor yang merupakan penjawat awam dan bekerja di Kuala Lumpur sejak setahun lalu bagaimanapun berkata sepanjang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Krai, beliau bernasib baik tidak mengalami sebarang insiden buruk.
Sementara itu, pekerja syarikat pengiklanan di Melaka, Sufinah Abd Wahab, 23, berkata beliau sering menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung halamannya di Mersing, Johor.
Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu berkata beliau akan pulang dua atau tiga kali sebulan malah pernah berulang alik setiap minggu selama enam bulan ke kampungnya.
Bagaimanapun, katanya bas yang dinaikinya tidak mempunyai kemudahan tali pinggang keledar.
"Apabila ada kemalangan yang melibatkan kematian, memang ada rasa takut tetapi saya tiada pilihan melainkan menaiki bas," katanya yang bekerja di Melaka sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, dia memilih menaiki bas kerana tidak mahu memandu khususnya bagi perjalanan yang jauh kerana ia agak memenatkan.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman menyambut baik cadangan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas.
Beliau berkata ia bagi mengelakkan penumpang tercampak keluar dari bas apabila berlakunya kemalangan, selain mengurangkan risiko kematian.
"Fomca bersetuju dengan cadangan mewajibkannya kerana kebanyakan penumpang akan tidur semasa berada dalam bas dan mereka tidak tahu apa yang berlaku.
"Tidak kira perjalanan pada waktu siang atau malam, biasanya penumpang akan tidur dan tidak memakai tali pinggang keledar. Ini boleh menyebabkan penumpang tercampak keluar semasa kemalangan," katanya.
Mengenai cadangan tiada perjalanan pada 'waktu mengantuk', Mohd Yusof berkata perkara itu perlu dikaji dahulu kerana ia melibatkan keperluan penumpang yang mungkin memerlukan perjalanan pada waktu tersebut.
Beliau berkata pemandu bas juga seharusnya tidak mengambil kesempatan menambah kelajuan apabila memandu pada waktu malam disebabkan keadaan jalan yang lengang.
Sabtu lepas, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dalam analisis beritanya mencadangkan langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa 'waktu mengantuk' dan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas.
Ia berikutan tragedi membabitkan pengangkutan awam sering kali berlaku pada musim perayaan dan terbaharu seramai 14 nyawa terkorban dalam nahas bas ekspres, sehari sebelum sambutan Krismas tahun ini.
Nahas pukul 3.30 pagi di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, turut menyebabkan 16 penumpang lain cedera.
Media melaporkan bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru itu dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter mengakibatkan ramai penumpangnya tercampak keluar daripada kenderaan itu.
-- BERNAMA