Penulisan sejarah harus berdasarkan fakta - TPM Zahid
Bernama
Mac 8, 2017 17:02 MYT
Mac 8, 2017 17:02 MYT
Penulisan sejarah harus berdasarkan fakta dan bukan sekadar mengikut perspektif penulis yang mahu menaikkan nama seseorang tokoh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ini pernah berlaku apabila buku sejarah sesuatu negeri atau republik ditulis mengikut perspektif penulis hingga menyebabkan tokoh asal yang membuka negeri itu diketepikan dan sebaliknya nama tokoh lain ditonjolkan.
"Walaupun tokoh yang ditulis penulis itu disebut oleh pakar sejarah namun fakta sebenar diputarbelitkan sehingga mengelirukan orang ramai," katanya.
Beliau berkata demkian ketika merasmikan majlis penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) 2015 dan Pelancaran Novel Sejarah anjuran DBP dan PSM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Salleh Yaapar dan Pengerusi Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Hashim.
Ahmad Zahid berkata beliau bukannya seorang rasis tetapi berharap supaya sejarah harus ditulis berdasarkan fakta kukuh bagi membuktikan sesuatu peristiwa itu benar-benar berlaku.
"Dalam penulisan sejarah, penulis harus menghidangkan golongan muda (generasi Y dan Z) dengan fakta sejarah berdasarkan kepelbagaian metodologi supaya mereka tidak melihat sejarah itu sebagai nostalgia," katanya.
Pada majlis itu, lapan novel sejarah terbitan DBP dilancarkan iaitu Mengukir Larut karya Amer Hamzah L Kadir, Puteri Negeri Rindu karya Rahimah Muda, Awang-Kembara Mengelilingi Dunia karya Kamaludin Abduk Settar, Raja Asal Permata Di Bumi Kuala Lumpur karya Kamarulzaman Jaafar, Setanggi Zaman karya Wan Noor Wan Cik, Sumpah Bukit Sadok karya Idris Boi, Malaysia Milik Kita karya Nor Azila Ishak dan Jene karya Kasajiza A S (Zainal Abas).
Ahmad Zahid berkata DBP dan PSM harus bersama-sama melakukan kajian mengenai sejarah dengan lebih mendalam agar pembaca memahami sejarah kehidupan lampau dengan lebih jelas dan lengkap. -- BERNAMA