Penulis yang dikaitkan dengan Papa Gomo nafi beliau 'pengundi hantu'

Haider Yutim
Mac 22, 2013 15:00 MYT
Individu yang dikaitkan sebagai penulis blog politik, Papa Gomo hari ini menafikan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya oleh pengarah strategik PKR Rafizi Ramli.
Wan Muhammad Azri Wan Deris ketika dihubungi Astro Awani menolak dakwaan Rafizi bahawa dia adalah ‘pengundi hantu’ yang mempunyai dua alamat.
“Pengundi hantu macam mana sedangkan saya belum pernah mengundi lagi. PRU12 saya belum ada kesedaran untuk mengundi.
“Sekarang saya daftar mengundi di parlimen Wangsa Maju dan tidak pernah mendaftar untuk mengundi di mana-mana tempat selain Wangsa Maju,” katanya.
Tambahnya, jika pihak pembangkang menyifatkannya sebagai pengundi hantu, ini bermakna kemenangan Zuraidah Kamaruddin di Ampang dan Azmin Ali di Bukit Antarabangsa pada 2008 juga tidak sah.
“Saya juga terkejut dengan apa yang didakwa Rafizi tadi kerana tahun ini adalah kali pertama buat saya untuk membuang undi,” kata Wan Muhammad.
Wan Muhammad Azri juga berkata beliau bukanlah Papa Gomo seperti yang didakwa oleh Rafizi.
Dia juga menyoal samada pihak pembangkang telah meletakkan agen mereka di dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan jahat ke atas individu tertentu seperti yang dilakukan dalam isu National Feedlot Corporation (NFC).
“Saya nak maklum bahawa nama saya Wan Muhammad Azri Bin Wan Deris kad pengenalan 830121035019 adalah Ketua Eksekutif KL POS Media & Production Sdn Bhd. Dan saya tegaskan di sini saya bukan Papa Gomo, blogger yang didakwa oleh pembangkang,” katanya lagi.
PKR melalui Rafizi hari ini telah mendakwa penulis blog Papa Gomo sebagai bekas polis dan juga pengundi kerana mempunyai dua alamat berikutan tarafnya sebagai pengundi pos.
Beberapa hari yang lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya, N.Surendran telah menghantar surat kepada penulis blog Papa Gomo untuk menarik balik tuduhannya kepada Anwar dalam tempoh 48 jam.
Beliau juga meminta penulis itu membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta diatas terbitan blognya pada 16 Mac lalu.
Penulis itu bagaimanapun gagal memohon maaf, menyebabkan Anwar meneruskan dengan tindakan saman.
Penulis itu kemudiannya memberi amaran kepada Anwar untuk menarik balik saman tersebut dalam masa 48 jam dan memohon maaf terhadapnya jika tidak mahu berdepan dengan lebih banyak pendedahan video.
Anwar pada Khamis telah memfailkan saman RM100 juta terhadap penulis itu atas dakwaan menyebarkan gambar fitnah lucah miripnya.
Saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10.30 pagi semalam.
Pada hari yang sama, penulis blog tersebut telah mendedahkan video terbaru yang didakwa Anwar Ibrahim bersama seorang mahasiswa yang didakwanya dari Sabah.
Pendedahan tersebut berikutan tempoh 48 jam (bermula 4 petang 19 Mac 2013) yang diberikan kepada Anwar untuk menarik kembali saman kepada penulis.
#Anwar Ibrahim #blog #Papa Gomo #PKR #Rafizi Ramli #video #Wan Muhammad Azri
;