Penulis ditahan, hantar mesej jelik tentang PM di Whatsapp

Bernama
Julai 2, 2016 23:55 MYT
Suspek memuat naik mesej bergambar atas nama 'Pa Ya' dalam kumpulan WhatApps "Bicara Politik Melayu"
Seorang penulis buku berusia 76 tahun ditahan polis hari ini setelah didapati menghantar mesej bergambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam aplikasi WhatsApp yang bersifat jelik
bertujuan menghina.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam kenyataan di sini berkata lelaki itu ditahan di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi setelah satu laporan polis diterima di negeri ini semalam.
Beliau berkata polis merampas seunit telefon bimbit berjenama Samsung G5 daripada lelaki itu dan dia akan direman di Mahkamah Majistret di sini, esok bagi melengkapkan siasatan.
"Suspek didapati telah memuat naik penghantaran mesej bergambar tersebut atas nama 'Pa Ya' dalam kumpulan WhatApps "Bicara Politik Melayu" yang bersifat jelik bertujuan menghina, lucah dan menyakitkan hati rakyat Malaysia.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya," kata beliau.
#hina PM #mesej jelik menghina #Najib Razak #WhatsApp
;