Penularan wabak COVID-19 di Bangsar? Ini yang perlu anda tahu
Fareez Azman
Disember 25, 2020 08:30 MYT
Disember 25, 2020 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat mengenai dakwaan penularan COVID-19 di Bangsar, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah menjelaskan, siasatan akan dijalankan berhubung perkara itu.
"Ia akan disiasat oleh pihak kami dan ia satu kluster baharu," katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI
Terdahulu, pemilik akaun Facebook Shobie Malani pada Rabu menjelaskan kedudukan perkara tersebut.
"Pada Sabtu, 12 Disember adalah hari jadi bapa mertua saya, kami keluar makan tengahari dan meraikan hari jadinya. Sebelah malam pula, kami tidak pergi makan malam dengannya, tetapi adik ipar saya dan keluarga bawa bapa mertua saya ke salah sebuah restoran di Petaling Jaya.
"Selepas makan malam, mereka pulang ke rumah sebelum bapa mertua saya diraikan dengan durian oleh sepupunya. Mereka berada di rumah itu selama 45 minit sebelum pulang.
"Di sini saya ingin tegaskan bahawa tiada majlis hari jadi dirancang, tiada pelayan hadir seperti mana yang dimaklumkan dalam mesej yang tular itu. Kami juga terkejut dakwaan ada majlis hari jadi di Terasek 7," katanya.
Bagaimanapun jelas Malani, ibu saudaranya yang turut bersama bapa mertuanya pada malam Sabtu mengalami gejala demam sebelum disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan.
Tambahnya, terkejut dengan berita itu, seluruh ahli keluarganya turut menjalani saringan COVID-19, bagaimanapun lapan daripada mereka disahkan positif COVID-19 tiada gejala (asymptomatic) termasuk suaminya.
"Salah seorang keluarga saya yang positif adalah suami saya, suami saya bagaimanapun memaklumkan perkara itu kepada semua kenalan dan rakan yang pernah bertemu dengannya. Kami turut maklumkan kepada jiran-jiran terdekat.
"Anak kami juga telah jalani saringan sebelum suami saya dimasukkan ke hospital untuk isolasi. Ketika ramai daripada kita yang menjalani saringan COVID-19 dan kuarantin mandatori seperti ditetapkan KKM, kami rasa tiada alasan untuk 'keyboard warrior' memutarbelit kisah kami di media sosial," katanya lagi.
Malah ujar Malani, penularan mesej terbabit dengan memetik beberapa nama pasar raya dan restoran juga boleh membawa kerugian kepada premis terbabit.
Sebaliknya, semua pihak katanya lagi perlu berhati hati dalam menularkan mesej tanpa memeriksa kesahihannya.
Terdahulu, tular di media sosial satu mesej mendakwa tujuh individu disahkan positif COVID-19 di Bangsar selepas mereka menghadiri majlis hari jadi di Jalan Terasek 8.
Mesej ringkas itu turut mendakwa punca jangkitan disebabkan oleh seorang pekerja pelayan dan mendapat perhatian netizen sekali gus mencetuskan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
#Noor Hisham Abdullah
#Facebook
#Astro Awani
#KKM
#Media
#Petaling Jaya
#COVID-19
#keluarga
#penularan
#kesihatan
#Tan Sri Noor Hisham Abdullah
#kluster
#Bangsar
#Shobie Malani
#hari jadi
#siasatan