Penularan gelombang varian Omicron BA.5 di negara kecil - Khairy

Bernama
Ogos 9, 2022 16:37 MYT
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata di sesetengah negara, gelombang Omiron BA.5 adalah besar tetapi di Malaysia gelombangnya adalah kecil tetapi lama. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Gelombang COVID-19 akibat penularan subvarian Omicron BA.5 di Malaysia adalah kecil dan terkawal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata di sesetengah negara, gelombang Omiron BA.5 adalah besar tetapi di Malaysia gelombangnya adalah kecil tetapi lama.
"Macam saya kata, (pergerakan) 2,000 ke 5,000 kes tetapi agak lama, ia tidak naik mendadak ia naik sikit dan kekal ke paras yang baru," katanya kepada media selepas perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kes jangkitan COVID-19 yang tidak dilaporkan di aplikasi MySejahtera, Khairy berkata situasi itu berlaku di mana-mana negara bukan sahaja di Malaysia.
"Kes dilaporkan adalah kurang daripada keadaan sebenar sebab protokol kita untuk ujian pun telah dilonggarkan, dulu semua buat RT-PCR dan sekarang kebanyakan ujian yang dilaporkan adalah ujian RTK-Antigen," katanya.
Khairy berkata ada individu yang melakukan ujian kendiri tetapi tidak melaporkan kepada MySejahtera.
"Jadi dengan keadaan begini kita ambil petunjuk proksi dengan tidak tengok sangat kepada jumlah kes dan kita tengok kepada keseriusan kes. Kita melihat kepada severity (keterukan), jumlah kes kematian, kemasukan ke hospital.
Selagi kadar-kadar tersebut terkawal maka kita boleh mengurus masalah ini dengan baik sebab kalau tengok kepada kes ia akan turun naik, ia akan ada gelombang dari masa ke semasa, "katanya.
Khairy juga menasihati orang ramai untuk melaporkan jangkitan COVID-19 di MySejahtera bagi membantu Kementerian Kesihatan mengetahui keadaan sebenar dan jumlah kes di kalangan komuniti.
Terdahulu ketika berucap, Khairy berkata bagi mengorak langkah ke hadapan NIH merancang mempertingkat penyelidikan perubatan jitu, vaksin, perubatan tradisional dan komplementari, kohort kelahiran dan "National Quality Improvement Programme".
"NIH akan juga memanfaatkan kepelbagaian data yang tersedia dengan membangunkan ekosistem Analitik Data Raya Kesihatan bagi tujuan penyelidikan melalui Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kesihatan (2021-2025)," katanya.
NIH telah beroperasi sepenuhnya di bawah satu bumbung pada 2019 merangkumi Institut Penyelidikan Perubatan; Institut Kesihatan Umum; Institut Penyelidikan Klinikal; Institut Pengurusan Kesihatan; Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan.
-- BERNAMA
#gelombang omicron #BA5 #varian omicron #KKM #Khairy Jamaluddin
;