Penularan fahaman bertentangan agama Islam di Sabah perlu ditangani - Mohd Shafie

Bernama
November 10, 2018 11:10 MYT
SHAFIE: Saya bimbang jika terdapat pendekatan pelbagai mazhab dan ajaran-ajaran di sini sehingga menjadikan kita dalam keadaan tidak ada perpaduan. - Gambar fail
Penularan fahaman bertentangan dengan ajaran Islam sebenar di Sabah perlu ditangani dengan baik ke arah mengukuhkan perpaduan dan kesatuan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata untuk tujuan itu, pihak yang bertanggungjawab berkaitan agama Islam perlu menjalankan amanah dengan sebaiknya bagi mengelak situasi pergolakan seperti yang berlaku di negara Islam di Asia Barat, terjadi di sini.
"Saya bimbang jika terdapat pendekatan pelbagai mazhab dan ajaran-ajaran di sini sehingga menjadikan kita dalam keadaan tidak ada perpaduan, ia tidak akan membawa kebaikan," katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Tahun 1440H/2018 Peringkat Daerah Semporna di sini hari ini.
Beliau berkata perbezaan fahaman dan mazhab yang tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar ini menjadi antara punca umat Islam berpecah-belah sehingga membawa kepada keruntuhan pentadbiran negara.
Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan kepada 90 penerima dari kalangan ibu tunggal, warga emas, pelajar miskin dan anak yatim.
-- BERNAMA
#agama #ajaran islam #ancaman #fahaman #Islam #mazhab #Mohd Shafie Apdal #perpaduan #Sabah