Penularan COVID-19 di hotel terkemuka tidak jejaskan pelancongan Langkawi - Sanusi

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 5, 2021 16:57 MYT
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menerangkan kepada petugas media ketika sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Penularan COVID-19 di sebuah hotel terkemuka di Langkawi tidak menjejaskan aktiviti gelembung pelancongan di Pulau Langkawi.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penularan itu berlaku susulan terdapat pekerja yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan, sekali gus menyebabkan tercetusnya Kluster Dah Teluk Nibung.
Beliau berkata, kluster itu dikategorikan sebagai kluster tempat kerja yang membabitkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.
"Saya difahamkan oleh pengarah kesihatan negeri ia menular di kediaman dia (pekerja) tak patuh (SOP) di tempat tinggal pekerja (dan) itu bukan kes import daripada pelancong.
"Ia kes tempatan (yang) menular di tempat kerja oleh pekerja hotel. (Pelancongan) tidak terjejas, kita dah ambil tindakan yang perlu untuk jaga gelembung pelancongan... alhamdulillah, Langkawi dah bernafas semula," katanya.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahadzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah, hari ini.
Semalam, media melaporkan sebuah hotel terkemuka di Langkawi menghentikan operasinya buat sementara selepas 59 kakitangan dan ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19.
BACA: Hotel terkemuka di Langkawi ditutup sementara selepas 59 pekerja positif COVID-19
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo, menerusi satu kenyataan berkata sehingga hari ini, seramai 254 orang disaring dengan 59 kes positif COVID-19, 187 individu negatif dan tiga individu lagi masih menunggu keputusan.
Kesemua kontak rapat sudah dikenal pasti dan dilakukan ujian calitan serta diberi arahan Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) selama 10 hari dan sehingga kini, penularan jangkitan adalah terkawal.
#COVID-19 #hotel terkemuka #Langkawi #tidak jejas pelancongan #MB Kedah #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #Kluster Dah Teluk Nibung #gelembung pelancongan
;