Penularan COVID-19, Angsana Johor Bahru ditutup 7 hari - Jabatan Kesihatan

Ernalisa Othman
Disember 7, 2020 21:55 MYT
Arahan penutupan pusat beli belah itu diputuskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) selepas menilai risiko penularan wabak. -Gambar fail
JOHOR BAHRU: Pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall diarahkan tutup selama tujuh hari bermula malam ini berikutan penularan wabak COVID-19 di kompleks berkenaan.
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata arahan penutupan pusat beli belah itu diputuskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) selepas menilai risiko penularan wabak dan situasi semasa.
Katanya, semua pekerja dan kakitangan di pusat beli belah berkenaan juga diarahkan menjalani saringan COVID-19 secara sukarela bagi mengekang penularan wabak berkenaan ke dalam komuniti.
"Arahan penutupan sementara pusat beli belah itu bermula jam 8 malam ini sehingga 14 Disember depan bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyah cemar dilaksanakan secara menyeluruh selain membolehkan pekerja premis menjalani saringan.
"Notis arahan penutupan sementara dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Ia sudah ditampal di pintu utama pusat beli belah berkenaan malam ini," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengurusan pusat beli belah itu ketika dihubungi Astro AWANI berkata, akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.
BACA: Angsana Johor Bahru Mall dinasihat tutup sementara selepas beberapa pekerja positif COVID-19 - Dr Adham
Petang tadi, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pengurusan pusat beli belah itu sudah dinasihatkan supaya menutup operasi buat sementara waktu bagi membolehkan proses nyah cemar dan sanitasi dilakukan dengan menyeluruh.
Ia berikutan beberapa individu yang bekerja di premis itu disahkan positif COVID-19.
Sejak semalam, akaun Facebook rasmi pusat beli belah berkenaan dibanjiri komen netizen yang tidak berpuas hati berikutan tular luahan beberapa individu bekerja di situ yang dikatakan disahkan positif COVID-19.
Mereka kesal pengurusan pusat berkenaan tidak mahu menutup sementara kompleks berkenaan.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kluster baharu iaitu Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.
#angsana #plaza angsana #angsana johor bahru #COVID-19 #Tular #ditutup #Pekerja #penularan #Dr Adham #pengarah kesihatan #Dr Aman Rabu
;