Penubuhan suruhanjaya berkaitan bekalan air di Sabah akan dibentang di Dewan Rakyat - Bung Moktar

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 29, 2021 16:26 MYT
Bung Moktar sewaktu mengadakan lawatan ke beberapa kawasan kampung dan perumahan berhubung isu bekalan air dan jalan raya di Kota Kinabalu pada Jumaat.- Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Penubuhan suruhanjaya berkaitan bekalan air di negeri Sabah akan dibentang di Dewan Rakyat.
Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya terbabit telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri yang lalu dan akan melalui beberapa peringkat lagi sebelum diangkat sekali lagi untuk kelulusan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
"Ianya kini dalam proses untuk kita membuat kajian secara menyeluruh dan terperinci di semua peringkat termasuk kajian undang-undang, kajian kerajaan tempatan dan sebagainya.
"InsyaAllah kita akan laksanakan dan ia telah dimaklumkan di peringkat Kabinet negeri.
"Kalau sampai masanya kita akan bawa ke peringkat Dewan Rakyat," katanya selepas mengadakan lawatan ke beberapa kawasan kampung dan kawasan perumahan berhubung isu bekalan air dan jalan raya di Kota Kinabalu pada Jumaat.
#Dewan Rakyat #Menteri Kerja Raya Sabah #Bung Moktar Radin #undang-undang #kabinet #Kota Kinabalu
;