Penubuhan SFZ di Pulau Pinang masih dikaji, rangka kerja akan dibentang kepada MMK - Chow
Bernama
November 28, 2024 23:30 MYT
November 28, 2024 23:30 MYT
GEORGE TOWN: Prospek penubuhan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Pulau Pinang sebagai enjin pertumbuhan masih di peringkat kajian oleh Penang Institute (PI), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata PI telah menganjurkan sesi meja bulat bersama pakar-pakar dalam bidang kewangan, perbankan, insurans, fintech dan wealth management pada semalam dan seterusnya rangka kerja cadangan pelaksanaan SFZ akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri selepas kajian oleh PI diselesaikan.
Chow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri memaklumkan, satu bengkel penglibatan awam juga telah diadakan pada 24 Sept dengan kehadiran lebih daripada 100 peserta daripada sektor logistik, perdagangan dan institusi kewangan.
"Antara rumusan bengkel adalah lebih 93 peratus peserta menyokong penubuhan SFZ di Pulau Pinang, SFZ akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akan memanfaatkan graduan muda dan SFZ akan meningkatkan pembiayaan modal bagi merancakkan sektor pembuatan termaju tempatan.
"Peserta bengkel juga merumuskan Gurney Bay dan Pulau Andaman adalah pilihan lokasi utama untuk dijadikan SFZ manakala kesesakan lalu lintas, kekurangan bakat dan tawaran gaji rendah menjadi kebimbangan utama pelaksanaan zon kewangan khas itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 itu kemudian diluluskan melalui undian suara, selepas dibahaskan 40 Ahli Dewan Undangan Negeri sejak Isnin lepas.
-- BERNAMA