Penubuhan RCI relevan - Perkasa

Huzaifah Abd Jamil
Mei 28, 2015 21:29 MYT
Perkasa menegaskan pendiriannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan isu penyelewengan dana 1MDB
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan pendiriannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan, siasatan akan dijalankan secara telus dan lebih menyeluruh merangkumi kesemua dokumen berkaitan.
Ia sekaligus menunjukkan sikap profesional Perkasa yang tidak mahu menuduh mana-mana pihak.
“Sebab itu saya kata (penubuhan) Suruhanjaya Diraja adalah yang terbaik. Jadi bila kita tubuhkan suruhanjaya ini, nanti ia akan dedahkan apa yang berlaku, siapa bertanggungjawab, siapa yang patut didakwa, ada kelemahan, ada kesalahan ke tidak.
“Kita tak nak tuduh sesiapa, biar Suruhanjaya Diraja yang menentukan siapa bersalah. Inilah Perkasa, kami sangat profesional,” tegasnya.
Bagaimanapun, pemilihan ahli perlu dilakukan dengan teliti agar siasatan yang dijalankan tidak terganggu sekaligus mengundang isu yang lebih berat.
“Ahli Suruhanjaya Diraja yang dilantik ini (mestilah) orang-orang yang bebas, berintegriti, dan yang tidak boleh dipersoal latar belakangnya. Ini kerana melalui suruhanjaya ini, siasatannya adalah menyeluruh,” jelasnya.
Ibrahim turut memberitahu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bukan institusi sewajarnya untuk menjalankan siasatan kerana konteks kerjanya yang hanya tertumpu kepada semakan laporan audit negara setiap tahun, malah tiada kuasa untuk mendakwa.
“Peranan PAC sangat terhad dan (ia) tiada kuasa (untuk) mendakwa. Tugas PAC ini sebenarnya ialah untuk menyemak setiap tahun laporan audit negara.
“Sekarang ini dia buat penyiasatan sebelum audit, jadi dia nak siasat apa? Dia panggil CEO, tanya begitu begini secara lisan. Di mana dokumennya? Jadi (siasatan ini) tak sudah,” ujarnya.
Ibrahim ditemui dalam sidang media yang berlangsung di bangunan pejabat Perkasa di Kuala Lumpur pada Khamis.
Satu diskusi tertutup telah diadakan pada April lalu untuk membincangkan isu 1MDB antara Majlis Tertinggi Perkasa, biro ekonomi Perkasa dan biro pemantauan integriti Perkasa.
Perbincangan tertutup anjuran Perkasa itu telah dihadiri oleh lebih kurang seramai 45 orang ahli daripada bahagian masing-masing untuk perbincangan mencari kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.
#1MDB #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #PAC #PERKASA
;