Penubuhan Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental langkah terbaik - Perkama
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 10, 2022 13:47 MYT
Oktober 10, 2022 13:47 MYT
KUALA LUMPUR : Kesedaran terhadap isu kesihatan mental di negara ini masih lagi rendah malah ramai yang tidak pernah mengambil inisiatif untuk mengambil tahu tahap kesihatan mental mereka.
Menurut Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama) Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin, tahap kesedaran mengenainya dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini masih di bawah paras sederhana.
"Ini adalah satu perkara yang kita perlu beri keutamaan. Barangkali pandemik (COVID-19) telah mengajar kita banyak perkara untuk kita memperlihatkan dan juga membuat inisiatif-inisiatif baharu.
"Untuk itulah kita di Malaysia kita tidak ketinggalan untuk sama-sama menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia bukan hari ini sahaja tapi kita lakukan sepanjang tahun," katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah melakukan pelbagai pendekatan yang terbaik dalam menjalankan aktiviti untuk menyedarkan masyarakat sejak pandemik COVID-19 melanda negara beberapa tahun lalu.
Selain itu cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental juga menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.
Penubuhan itu nanti katanya diharapkan akan menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan serta membolehkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan mental boleh berkolaborasi sesama mereka.
"Ini merupakan satu-satunya kita rasa akan memberi impak yang sangat besar kepada negara terutama bila kita berdepan dengan isu-isu kesihatan mental. Sebab isu kesihatan mental ini perlu difahami dengan lebih jelas," katanya lagi.
Langkah pencegahan awal dalam menangani isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat jelasnya adalah amat penting dan mampu menyelamatkan pelbagai masalah.
Malah rawatan dan juga kos lebih banyak diperlukan seandainya seseorang telah dikesan menghadapi masalah mental tanpa mendapatkan rawatan lebih awal.
Perkara itu jelasnya boleh dielakkan seandainya langkah awal rawatan dan juga kesedaran awal masyarakat dapat dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelakkan seseorang itu menghidapi masalah mental yang lebih teruk.
"Pusat Kesihatan Nasional Kecemerlangan Mental akan menjadi sebuah pusat yang bertaraf dunia saya rasa untuk membolehkan semua golongan profesional dalam bidang kesihatan mental bersatu dan kita bersama dengan pihak kerajaan untuk melaksanakan program-program kesedaran dalam masyarakat kita," jelasnya lagi.
#kesihatan mental
#Perkama
#Hari Kesihatan Mental Sedunia
#Pusat Kecemerlangan Nasional Kesihatan Mental