Penubuhan Pejabat UN-Habitat pengiktirafan PBB kepada Malaysia
Bernama
Disember 2, 2024 21:04 MYT
Disember 2, 2024 21:04 MYT
KUALA LUMPUR: Penubuhan Pejabat Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di ibu negara bagi memperluas Asia-Pacific Urban Agenda Platform (AP-UAP) adalah satu pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyifatkan penubuhan pejabat berkenaan bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan dari segi mendapatkan kelulusan serta kebenaran daripada pihak PBB.
Beliau berkata pejabat itu ditubuhkan melalui agensi di bawah KPKT, URBANICE Malaysia bagi membangunkan AP-UAP, suatu platform perkongsian pengetahuan dalam talian yang membantu memantau serta melaporkan kemajuan bagi mempercepat pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Pejabat ini akan menjadi pusat tumpuan serantau yang berfungsi sebagai penghubung utama 58 negara kepada UN-Habitat dan juga rakan kongsinya yang akan memperluas lagi akses kepada pengetahuan, meningkatkan usaha inovatif serta menyokong inisiatif kemampanan bandar di rantau Asia Pasifik.
"Pengurusan pejabat ini akan diselia kementerian melalui URBANICE Malaysia dengan sokongan daripada Sekretariat UN-Habitat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Pejabat UN-Habitat Malaysia dan AP-UAP di Damansara Heights sempena Jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Ketua Eksekutif URBANICE Malaysia Norliza Hashim.
Nga berkata laporan yang dihasilkan melalui AP-UAP akan diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB di New York pada setiap empat tahun.
Beliau berkata AP-UAP merupakan hab untuk pelaporan kemajuan pelaksanaan NUA yang menyokong negara anggota di rantau Asia Pasifik untuk penyediaan Laporan Suku Tahunan Ketiga yang akan dikeluarkan pada 2026 kepada Setiausaha Agung PBB.
Beliau berkata ia juga merupakan pusat sumber, tempat perkongsian ilmu dan pusat latihan pembinaan kapasiti bagi pembangunan projek mampan.
Sehingga kini, hanya 41 daripada 194 negara telah menyediakan pelaporan kemajuan negara terhadap pelaksanaan NUA termasuk Indonesia, Malaysia, Mongolia dan Korea Selatan.
-- BERNAMA