Penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ke kabinet minggu depan
Bernama
Januari 15, 2018 17:00 MYT
Januari 15, 2018 17:00 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan membawa usul penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ke kabinet minggu depan.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketika ini pihaknya sedang menyenarai pendek pakar yang akan terlibat dalam majlis tersebut bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat dapat dilaksanakan untuk jangka panjang.
"Ada lima kluster (yang akan diwujudkan) dan kita akan panggil pakar dalam setiap kluster tersebut. Bila ada kluster kita perlukan orang yang betul-betul memahaminya (supaya) apabila kita umum (dasar) kita nak pastikan tidak ada 'flip-flop'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen 'Magic of Ong 2018' Tesco, di sini hari ini.
Lima kluster berkenaan ialah perumahan, pengangkutan, utiliti, makanan dan minuman.
Pada Disember lepas, Hamzah dilaporkan berkata kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi membantu rakyat mendepani kenaikan kos sara hidup.
Usul itu diutarakan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung pada awal Disember lalu.
Sementara itu, Hamzah berkata aplikasi 'Price Catcher' dijangka dilancarkan secara rasmi pada awal bulan depan.
Aplikasi itu yang diperkenalkan pada Oktober tahun lepas bertujuan memudahkan pengguna membuat perbandingan harga barang di pasar raya di seluruh negara.
-- BERNAMA
#aplikasi
#Hamzah Zainudin
#kabinet
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan
#kluster
#KPDNKK
#Majlis Tindakan Sara Hidup Negara
#pakar
#Price Catcher
#senarai pendek
#usul