Penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bukan sebab PRU - TPM
Harits Asyraf Hasnan
Mac 6, 2018 16:04 MYT
Mac 6, 2018 16:04 MYT
Penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bukan bertujuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semata-mata.
Itu tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan inisiatif itu adalah bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat secara lebih efektif.
"Ini (penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) bukan disebabkan oleh pilihan raya umum. Sebaliknya ini adalah keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil 1/2018 di bangunan Parlimen, hari ini.
Sementara itu, ujar beliau MTSN akan memfokuskan kepada enam Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kluster Utama.
Ia meliputi kluster makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti dan kesihatan.
"Kami mengambil beberapa pendirian proaktif dalam perkara ini kerana kami mendengar dengan teliti permasalahan yang banyak menjadi isu rakyat.
"Kos sara hidup bukan hanya meliputi soal harga barangan, makanan dan minuman sahaja? maka kami mengambil kira aspek-aspek mengikut kluster yang telah diwujudkan ini," katanya.
Ahmad Zahid juga mahu semua mesyuarat kluster dilaporkan kepada jemaah menteri untuk diteliti agar input baharu dapat dilaksanakan dan dipantau.
Malah, beberapa wakil universiti dan organisasi dilantik untuk memberikan pandangan dalam pelbagai aspek bukan sahaja untuk menangani kos sara hidup tetapi juga terlibat dalam perancangan jangka panjang dasar-dasar kerajaan.
Ditanya pandangan kerajaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang mengalu-alukan langkah berterusan kerajaan menangani isu-isu rakyat terutama kos sara hidup pada istiadat pembukaan Parlimen semalam, Ahmad Zahid berkata kerajaan menjunjung kasih atas pujian berkenaan dan kerajaan harus menterjemahkannya secara komited melalui pelaksanaan program-program segera.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kluster
#kerajaan
#majlis tindakan sara hidup
#Malaysia Memilih
#Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara
#Parlimen
#pendidikan
#Perdana Menteri
#Timbalan Perdana Menteri
#Yang di-Pertuan Agong