Penubuhan Majlis Profesional Sabah mampu bantu kepada pembangunan negeri
Astro Awani
Julai 16, 2021 13:19 MYT
Julai 16, 2021 13:19 MYT
KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Majlis Profesional Sabah (SPC) dilihat mampu mewujudkan penyelarasan antara profesional dan kerajaan negeri dalam membangunkan strategi sejajar dengan aspirasi pelan pembangunan kerajaan iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya.
Sambil mengalu-alukan penubuhan majlis itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan itu relevan dalam mewujudkan sinergi idea dan usaha untuk memacu pembangunan Sabah.
"Semua sektor pembangunan memerlukan sumbangan dan kepakaran profesional dalam pelbagai bidang. (Saya melihat) majlis yang dicadangkan itu relevan dalam mewujudkan sinergi idea dan usaha untuk memacu pembangunan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan jawatankuasa ad-hoc SPC yang diketuai Pengerusinya, Ar Rizal Ahmad Banjar di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.
Dalam pertemuan itu, Rizal turut memberi penerangan kepada Hajiji mengenai cadangan SPC dan menyerahkan memorandum kepada ketua menteri.
Memorandum itu antara lain meminta agar golongan profesional di Sabah terlibat dalam hal inisiatif kerajaan untuk menghidupkan kembali pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Rizal berkata menerusi SPC, golongan profesional ingin melibatkan diri selain membantu kerajaan serta agensi berkaitan dalam penyusunan dasar dan garis panduan.
Pada masa ini, Sabah mempunyai kira-kira 5,000 golongan profesional yang berdaftar dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, jurutera, juruukur, peguam, akauntan dan doktor.