Penubuhan majlis musyawarah sementara penting untuk negara - Ambiga
Astro Awani
Disember 10, 2021 06:46 MYT
Disember 10, 2021 06:46 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mempertahankan usaha menubuhkan sebuah majlis musyawarah dalam usaha memakmur dan memasyhurkan negara.
Beliau juga menyeru agar semua pihak agar dapat bersama membantu usaha ini dan melakukan yang terbaik demi negara.
Berucap ketika menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2021 Majlis Peguam, Ambiga menjelaskan sudah tiba masanya semua pihak berganding tangan demi negara.
"Baru-baru ini saya menandatangani surat bersama beberapa individu lain bagi menyokong penubuhan sebuah Majlis Musyawarah Malaysia.
"Gerakan ini adalah bagi memastikan demokrasi musyawarah dan platform ini bukan perkara baharu tetapi sudah banyak negara lain yang melaksanakannya dengan jaya.
"Ia membenarkan banyak isu dibahaskan tanpa melibatkan kepentingan politik dan membenarkan masyarakat awam bersuara serta menyelesaikan masalah," katanya.
Sebelum ini penubuhan sebuah Majlis Musyawarah Malaysia dicadangkan oleh Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak bagi memberi cadangan kepada Parlimen dalam usaha memakmurkan dan memasyhurkan negara.
Nazir menjelaskan anggota majlis musyawarah itu akan memikirkan rancangan yang terbaik untuk dicadangkan kepada Parlimen.
Dalam ucapannya juga Ambiga berkata orang ramai cenderung untuk berdiam diri apabila timbul beberapa isu yang dikatakan sensitif.
“Setiap kali anda meletakkan agama pada mana-mana perkara, orang akan takut untuk mengkritik. Bagaimanapun saya tidak fikir kita sepatutnya begitu.
“Saya tidak bersedia untuk dibuli untuk mempercayai sebahagian daripada kita adalah warga kelas kedua. Kali terakhir saya semak, tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan memecahbelahkan rakyat," katanya lagi.