Penubuhan KSCIP dapat sambutan dari negara barat - Hishammuddin

Irwan Muhammad Zain
April 12, 2017 20:06 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) berjabat tangan bersama Ketua Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Sheikh Dr Mohamed Abdul Kareem Al-Issa yang juga Penasihat kepada Raja Arab Saudi hari ini. - Foto Bernama
Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman atau King Salman Centre for International Peace (KSCIP) mendapat sambutan menggalakkan termasuk dari negara-negara barat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
Kata Hishammuddin, penubuhan KSCIP ini penting kerana inisiatif untuk menangani naratif Daish perlu bermula dari kepimpinan negara Islam terlebih dahulu.
Katanya, negara-negara barat juga masih terkapai-kapai untuk menangani ancaman Daish.
"Bila kita bincang dengan pemimpin-pemimpin dunia, presiden dari Perancis, China, Amerika Syarikat dan lain-lain, saya tengok apa yang kita buat ini ditunggu kerana tindakan ketenteraan sahaja tidak mencukupi.
"Ketenteraan jalan seperti biasa tetapi inisiatif untuk tangani naratif Daish mesti bermula dari kepimpinan negara Islam terdahulu," katanya.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Muslim World League merangkap Penasihat kepada Raja Arab Saudi, Sheikh Dr Mohamed Abdul Kareem Al-Issa.
Penubuhan KSCIP iaitu sebuah pusat khusus dalam mempromosi kedamaian peringkat antarabangsa melibatkan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Arab Saudi serta Muslim World League (Liga Islam Sedunia), manakala Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), satu-satunya universiti tempatan terpilih bagi menjayakan penubuhan pusat berkenaan.
Kementerian Pertahanan menerusi inisiatif Hishammuddin memainkan peranan utama bagi menggerakkan penubuhan KSCIP.
#daish #Islam #King Salman Centre #Menteri Pertahanan #Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman
;