Penubuhan IPCMC tidak selaras Perlembagaan negara - Musa Hassan

Hasimi Muhamad
Mei 5, 2019 13:42 MYT
Musa berkata beliau pernah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) dan ia diselaraskan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis. -Foto Sinar Harian HARIAN
Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) disifatkan tidak selaras dengan Perlembagaan negara.
Menurut bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan, pelaksanaan IPCMC dilihat sebagai cubaan untuk mengambil kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) selain dibimbangi berlaku ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pihak terbabit.
“Ia (IPCMC) bagi saya bersifat bias (berat sebelah) ataupun tidak bersama dengan perlembagaan. Jadi oleh kerana bias dengan Perlembagaan, maka undang-undang ini adalah undang-undang yang kurang baik.
“Jadi, sepatutnya tidak boleh dibuat begitu kerana kita mempunyai (prinsip) ‘rule of law’ yang mesti menghormati keadilan asasi kepada semua pihak, bukan sahaja kepada penjenayah tetapi juga orang yang menjalankan penguatkuasaan,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Buletin Khas Menjelang Setahun Malaysia Baharu, pada Ahad.
Musa berkata, beliau pernah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Integriti Polis (IPIC) dan ia diselaraskan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Ditanya mengenai keberkesanan IPCMC dalam menurunkan indeks jenayah jika dilaksanakan, Musa berkata tumpuan yang perlu diberikan dalam pasukan polis adalah isu mengenai kelengkapan serta aset yang masih tidak lengkap sehingga kini.
“Ini saya dapat tahu ada orang polis mengadu dengan saya mereka perlu beli sendiri kelengkapan-kelengkapan.
"Jadi macam mana, oleh kerana logistik tidak cukup mereka terpaksa mengeluarkan duit mereka sendiri. Jadi ini saya rasa suatu yang tidak adil,” katanya.
Terdahulu, bekas KPN, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyampaikan bantahan berhubung usul (IPCMC).
Jelas Mohamad Fuzi, tentangan terhadap penubuhan tersebut antaranya berkaitan usaha menarik SPP di bawah Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu-isu berkaitan siasatan dan tindakan tatatertib.
Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan menggariskan SPP yang dianggotai Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap pelantikan naik pangkat dan isu tatatertib.
Penubuhan IPCMC adalah selaras Janji 20 yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menangani isu integriti dan menyiasat salah laku dalam kalangan anggota PDRM menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
#IPCMC #Janji 20 #Kerajaan PH #Ketua Polis Negara #Ketua Polis Negara Baharu #Manifesto Pakatan Harapan #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Tan Sri Musa Hassan
;