Penubuhan IPCMC dijangka tahun ini - Abu Kassim
Fareez Azman
Mei 10, 2019 17:13 MYT
Mei 10, 2019 17:13 MYT
Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka selesai tahun ini, kata Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Menurut beliau, secara prinsipnya, kerajaan tiada halangan dan memberikan sokongan pada penubuhan IPCMC.
Abu Kassim berkata, pada masa ini pihak bertanggungjawab akan mengadakan perbincangan berhubung aspek teknikal sebelum memuktamadkan penubuhan suruhanjaya itu dalam tempoh dua minggu lagi.
“Kita akan mengadakan perbincangan teknikal. Pada prinsipnya, tiada halangan dan sokongan diberikan kepada kerajaan penubuhan IPCMC ini.
"Terdapat beberapa perkara akan dibincangkan dalam tempoh seminggu dua ini sebelum dibentangkan ke Kabinet,” kata Abu Kassim.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador serta pengurusan kanan PDRM.
Dalam perbincangan hari ini juga, Abu Kassim berkata, beberapa perkara yang dibangkitkan termasuk bidang kuasa IPCMC yang tidak akan melebihi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di dalam PDRM.
#Abdul Hamid Bador
#Abu Kassim Mohamed
#GIACC
#IPCMC
#Penubuhan IPCMC dijangka tahun ini
#Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional