Penubuhan dana kesihatan negara bagi berdepan ancaman kesihatan masa depan - Dzulkefly

Bernama
Julai 17, 2024 06:31 MYT
Dzulkefly berkata dana berkenaan amat mustahak bagi memastikan tiada rakyat tercicir dalam mendapatkan rawatan sekiranya dijangkiti sesuatu penyakit berbahaya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Penubuhan dana kesihatan negara yang sedang dipertimbang adalah sebagai kesiapsiagaan bagi aspek pembiayaan dalam menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang dijangka berlaku pada masa hadapan termasuk rintangan antimikrob (AMR).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dana berkenaan amat mustahak untuk disediakan secukupnya bagi memastikan tiada rakyat tercicir dalam mendapatkan rawatan sekiranya dijangkiti sesuatu penyakit berbahaya.
Beliau berkata AMR yang dijangka menjadi cabaran mendatang dalam kesihatan itu adalah satu keadaan iaitu ubat-ubatan seperti antibiotik tidak lagi memberi kesan untuk menangani sesuatu infeksi.
"Bayangkan antibiotik hari ini digunakan secara berkesan, tiba-tiba ia tidak berkesan... terkait dengan kesihatan kewangan, ia mustahak untuk kesiapsiagaan kewangan bagi mana-mana negara.
"Perlu dibuat persiapan supaya dalam hal liputan kesihatan sejagat ini, mantera digunakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah untuk tidak meninggalkan sesiapapun dalam apa jua bencana kesihatan termasuk pandemik, AMR dan sebagainya," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu bagaimana dana kesihatan negara itu dapat membantu negara ini dalam menghadapi ancaman AMR.
Sementara itu, Dzulkefly berkata penubuhan dana kesihatan negara yang sedang dipertimbangkan itu, adalah untuk mengumpul pelbagai sumber pembiayaan yang dirancang termasuk daripada hasil cukai, bukan cukai dan juga dana yang dikhaskan daripada pelbagai kegiatan penguatkuasaan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti cukai minuman bergula (SSB).
"KKM juga sedar tentang kekangan makroekonomi semasa, pentadbiran dan politik negara akan mempengaruhi transformasi kesihatan, namun KKM sedang meneliti dan memperincikan hala tuju reformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan ini yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Hala tuju ini akan mengambil kira cabaran dan realiti yang dihadapi serta memanfaatkan amalan dan pengalaman terbaik kesihatan global," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Suhaizan berkaitan rancangan KKM mewujudkan dana kesihatan negara bagi memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
-- BERNAMA
#dana kesihatan negara #Dzulkefly Ahmad #ancaman kesihatan #Dewan Rakyat #Parlimen