Pentingnya pelarasan tarif, IWK pastikan pemulihan alam sekitar dan kesihatan awam diteruskan
Astro Awani
Januari 14, 2021 09:53 MYT
Januari 14, 2021 09:53 MYT
MENGAMBIL langkah lebih komited, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada Disember lalu menggesa agar pihak berkuasa meningkatkan lagi usaha dalam misi memerangi jenayah alam sekitar.
Gesaan tersebut dibuat susulan daripada berlakunya peningkatan kes-kes pencemaran air di Selangor.
Biarpun Malaysia dilimpahi dengan hujan dan bekalan air mencukupi, namun negara turut berhadapan dengan masalah pembuangan sisa secara haram ke dalam sistem pembentungan hingga menyebabkan gangguan bekalan air.
Meskipun timbul isu-isu jenayah alam sekitar seperti itu, syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) kekal komited melindungi alam sekitar dan menyediakan perkhidmatan pembentungan yang cekap kepada rakyat Malaysia.
Pihak tidak bertanggungjawab telah merosakkan alam sekitar dengan melakukan pencemaran, namun IWK terus berusaha bagi memikul mandat bagi mengendalikan dan menyelenggara sistem pembentungan awam dengan cekap.
Dilaporkan hampir 90 peratus pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan pembentungan dan sebahagian besar memahami betapa pentingnya perkhidmatan IWK untuk alam sekitar.
Ia bersandarkan kepada tinjauan dijalankan Merdeka Centre dalam kalangan pelanggan IWK.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, hasil tinjauan itu mencerminkan tahap kesedaran rakyat terhadap betapa pentingnya peranan alam sekitar dalam kehidupan seharian kita.
Beliau berkata, terdapat satu masalah yang masih berlanjutan dan jika tidak ditangani segera, manfaat-manfaat yang kita nikmati sekarang akan terjejas.
“Dengan peningkatan kos sara hidup dan kadar inflasi serta caj pembetungan IWK yang tidak pernah dikaji semula sejak lebih dua dekad penubuhannya, menjadikan syarikat pembetungan nasional ini berada dalam kedudukan kewangan yang tidak mampan.
“Menjalankan tugas-tugas operasi ke atas lebih daripada 8,000 aset pembetungan di seluruh negara adalah amat rumit khususnya apabila kebanyakan aset tersebut semakin uzur, dan ada yang telah menjangkau lebih 15 tahun,” ujarnya.
Jelas Narendran, selama ini proses rawatan air kumbahan yang dilaksanakan di loji rawatan kumbahan (LRK) mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan efluen terawat dapat dilepaskan dengan selamat ke perairan.
“Ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan buat pertama kali pada Mac tahun lalu dan hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi, alam sekitar telah menjalani proses penyembuhan.
“Loji-loji kami mengeluarkan jumlah efluen terawat yang sama. Ia sekali gus menghasilkan kualiti sungai yang lebih baik seperti dapat dilihat oleh orang ramai pada waktu itu,” katanya.
Adalah menjadi cabaran besar kepada IWK apabila tahap kepentingan dan piawaian efluen berkualiti tinggi seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi setiap LRK.
Kos operasi semakin meningkat sejak bertahun-tahun iaitu sebanyak RM18 sebulan untuk setiap isi rumah. Meskipun demikian, pelanggan domestik membayar caj yang rendah antara RM2 hingga RM8 sebulan.
Ia merupakan salah satu tarif yang terendah di dunia bagi mendapatkan salah satu perkhidmatan pembetungan terbaik.
Sekiranya kadar inflasi diterapkan dalam caj pembetungan, ia sepatutnya menjadi hingga RM14.45 pada tahun 2019.
Bagaimanapun, semua jurang perbelanjaan yang dinikmati ini ditanggung oleh IWK selama 26 tahun.
Pada masa yang sama, kerajaan telah memberikan subsidi sejumlah RM2.68 bilion sehingga akhir 2019 tetapi pastinya, perkara ini tidak dapat diteruskan jika kita ingin mengambil langkah yang lebih mampan ke arah kelestarian alam sekitar.
Menjelaskan kepentingan pelarasan tarif, Narendran berkata, sekiranya masyarakat tidak menunjukkan sokongan atau timbang rasa kepada utiliti pembetungan seperti dilakukan untuk utiliti lain, pihaknya mungkin tidak dapat meneruskan aktiviti-aktiviti yang memerlukan air di rumah dengan selesa.
Terdapat banyak premis lama di Malaysia yang menggunakan sistem tradisional seperti tangki septik, sama ada di rumah atau komuniti.
Tanpa penyelenggaraan pengosongan tangki septik yang berjadual atau menyahenapcemar, tangki septik ini atau sistem primitif ini akan turut menyumbang kepada masalah alam sekitar dan penyakit bawaan air.
"Sebagai sebuah negara yang berkembang dengan pesat, kita tidak boleh membiarkan isu-isu asas persekitaran dan kesihatan membahayakan kedudukan.
“Justeru itu, sudah tiba masanya untuk semua pihak mengkaji kemampanan kewangan IWK.
"Ia bagi memastikan syarikat dapat menjalankan tanggungjawab bukan hanya terhadap operasinya tetapi juga kepada masyarakat dan alam sekitar dengan kadar kecekapan lebih tinggi.
“Oleh demikian, pelarasan tarif bakal membantu mengurangkan banyak masalah kewangan serta dapat meningkatkan perkhidmatan pembetungan negara,” ujarnya.
#bekalan air
#sumber air bersih
#IWK
#IndahWaterKonsortium
#PencemaranAlamSekitar
#JenayahAlamSekitar
#komited
#UndangUndang
#denda
#LRK
#JAS
#CajPembentungan
#tarif
#utiliti