Penting untuk dengar suara belia - Tok Pa

Hasimi Muhamad
Disember 18, 2019 15:15 MYT
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata belia perlu diberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam membuat keputusan. - Foto BERNAMA
Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur (Youth Summit KL) perlu digunakan sebagai medan untuk mendengar suara dan pandangan golongan belia.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata belia perlu diberi peluang untuk memainkan peranan penting dalam membuat keputusan.
Ia termasuklah mencari penyelesaian melibatkan isu di peringkat global mahupun dalam negara.
“Ia sangat penting untuk kita (setiap pentadbiran kerajaan) mula berkomunikasi dengan golongan muda di negara ini.
“Kami (Malaysia) mempunyai pelaksanaan yang dipanggil Undi 18, di mana belia berusia 18 tahun dan ke atas mempunyai peluang untuk mengundi pada pilihan raya akan datang. Ini adalah penting untuk kami mendekati golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan majlis penutup Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur (Youth Kuala Lumpur Summit) di sini, pada Rabu.
Katanya, pelbagai resolusi yang dibentangkan oleh wakil delegasi belia perlu dipandang serius.
Beliau turut menyifatkan platform tersebut sebagai peluang untuk semua pihak menimba ilmu dalam mendepani cabaran global.
Terdahulu, delegasi-delegasi belia membentangkan resolusi kluster masing-masing membabitkan enam topik utama.
Ia termasuk menyentuh mengenai pendidikan, ekonomi, politik, keusahawanan, revolusi industri 4.0 dan tadbir urus yang baik.
Program dua hari yang bermula Selasa menghimpunkan golongan muda dari lebih 50 negara untuk bertukar pandangan menerusi pelbagai platform seperti sesi forum, mesyuarat meja bulat dan perbincangan mengikut beberapa kluster.
#Kuala Lumpur #Malaysia #Mustapa Mohamed #pendidikan #Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur #suara belia #Youth Summit KL
;