Penting perkukuh perkongsian dalam ekosistem pembuatan tempatan - MIDA
Bernama
Oktober 10, 2023 04:15 MYT
Oktober 10, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Langkah memperkukuh perkongsian dalam ekosistem pembuatan tempatan adalah penting dalam usaha mengumpulkan sumber, berkongsi risiko dan meningkatkan tahap penerimagunaan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan), Lim Bee Vian berkata, kerjasama erat adalah penting memandangkan sifat masa depan pembuatan yang kompleks dan dinamik.
"Banyak syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan, daripada berperanan sebagai pembuat secara kontrak menjadi pembuat peralatan tulen (OEM), menawarkan ekosistem yang sofistikated dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan kejuruteraan bertaraf dunia.
"Walaupun kita mungkin tidak berada pada setiap bahagian rantaian nilai global, kita menyasar untuk berada pada segmen penting yang kita boleh menambah nilai dan kekal berdaya tahan terhadap pesaing yang bergantung semata-mata pada kelebihan kos," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada seminar anjuran MIDA di sini, pada Selasa.
Lim turut menekankan dana terbaharu kerajaan berjumlah RM235 juta untuk memacu automasi, pendigitalan dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang mampan, iaitu Dana Pemecut Pelaburan Domestik, Dana Pemecut Pelaburan Asing dan Geran Automasi Pintar MADANI.
"Menerusi pemudahan oleh MIDA, dana ini akan memperkasakan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana tempatan serta syarikat peringkat pertengahan, untuk berinovasi, berkembang dan menyepadukan ke dalam rantaian bekalan global yang berkembang secara teknologi di samping menyumbang secara aktif kepada kemajuan ekonomi negara kita," katanya. - BERNAMA