Penternak tidak lena tidur, risau haiwan ternakan lemas akibat banjir
Bernama
November 21, 2020 00:08 MYT
November 21, 2020 00:08 MYT
ALOR GAJAH: "Dah beberapa malam sejak musim tengkujuh, tidur saya tidak lena. Risau banjir berlaku pada waktu malam dan haiwan akan lemas di kandang," demikian luahan seorang penternak lembu dan kambing, Sufian Aya, 34, mangsa banjir di Kampung Gadek di sini.
Katanya sebelum ini, kejadian banjir yang sinonim dengan kampungnya itu tidak menjadi masalah buatnya namun setelah menjadi penternak sejak lebih lima tahun, bencana itu umpama mimpi ngeri buatnya.
"Pukul 3 pagi tadi, saya terpaksa mengalihkan 11 lembu dan 20 kambing ke tempat lebih tinggi kerana kandang mereka ditenggelami air. Sekarang ini, kesemua haiwan itu terpaksa mencari makanan sendiri.
"Bulan ini sahaja, sudah tiga kali kandang haiwan ternakan saya ditenggelami air kerana hujan lebat yang berterusan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun ikan keli yang diternak di kolam simen berhampiran kandang lembu dan kambingnya itu tidak dapat diselamatkan kerana ditenggelami air dan arus air sangat deras di kawasan berkenaan.
"Makanan haiwan ternakan saya juga hanyut seperti dedak yang tidak sempat diselamatkan. Jadi kita berharap pihak berwajib dapat membantu meringankan beban yang ditanggung penduduk yang menjadi mangsa banjir," tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir Eva Maswati Ibrahim, 43, berkata perkara pertama yang dirisaukan setiap kali banjir berlaku ialah keselamatan ibunya, Bidah Bujang, 68, yang sukar bergerak akibat angin ahmar yang dialami sejak lebih dua tahun.
"Berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) adalah pilihan terakhir bagi saya dan keluarga. Semalam, rumah dinaiki air juga tetapi air surut dan telah dibersihkan tetapi pagi ini air naik semula sehingga tayar kereta pun tenggelam.
Namun, fikirkan keselamatan emak dan nasihat pihak berkuasa, kami sekeluarga sepakat untuk berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Gadek. Terima kasih saya ucapkan kepada anggota sukarelawan yang membantu memindahkan kami sekeluarga," katanya.
Seorang warga emas, Che Som Kechut, 80, berkata setakat ini beliau belum membuat keputusan untuk berpindah ke PPS kerana rumah belum dinaiki air kepada paras yang berbahaya.
"Cuma penat untuk membersihkan rumah pada usia yang tua ini...bulan ini dah tiga kali banjir dan saya berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengurangkan kekerapan banjir di kampung ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 193 orang daripada 48 keluarga, setakat 8 malam ini.
Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata daripada jumlah itu, 123 mangsa masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Daerah Jasin, manakala 26 mangsa ditempatkan di PPS SK Ayer Molek di Daerah Melaka Tengah yang dibuka pada 3.30 petang tadi.
"Bagi Daerah Alor Gajah pula, PPS SK Durian Tunggal menempatkan 32 mangsa, manakala PPS Balai Raya Kampung Gadek yang dibuka 8 pagi tadi ditutup, dan kesemua 12 mangsa dipindahkan ke PPS baharu iaitu SK Ganun pada 5 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
-- BERNAMA
#penternak
#musim tengkujuh
#Kampung Gadek
#Sufian Aya
#Eva Maswati Ibrahim
#kambing
#lembu
#Che Som Kechut