Penternak syak lembu dibaham harimau
Bernama
Julai 13, 2023 20:31 MYT
Julai 13, 2023 20:31 MYT
JERTIH: Seorang penternak lembu dilanda kebimbangan selepas seekor lembu peliharaannya ditemukan mati dipercayai dibaham harimau dekat Kampung Padang Tapong, di sini.
Abdul Latif Othman, 32, berkata dia menyedari kejadian itu selepas menjumpai bangkai anak lembunya pada 6.45 petang semalam.
"Terdapat kesan lembu itu diseret masuk ke dalam semak dari kawasan lapang di kebun sawit tempat lembu ternakan saya meragut dan makan.
"Saya terhidu bau busuk dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan lembu peliharaan saya sebelum mendapati satu bangkai lembu tidak berkepala dan isi perutnya sudah dikeluarkan," katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Abdul Latiff, kejadian itu adalah kali pertama sejak dia mengambil alih menternak haiwan tersebut daripada arwah bapanya 10 tahun lepas.
Bagaimanapun, Abdul Latif berkata kesan tapak kaki dan gigitan tidak dapat dilihat dengan jelas kerana hari semakin gelap dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian kerana bimbang akan keselamatan diri.
"Saya tak pasti harimau apa yang membaham lembu tersebut sama ada harimau belang atau kumbang kerana kedua-dua spesies ada di kawasan ini, tetapi selama ini tidak pernah mengganggu haiwan ternakan," katanya yang menternak lebih 50 ekor lembu di kawasan tersebut.
Abdul Latif berkata satu laporan telah dibuat kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA