Penternak rugi, lembu dibaham harimau

Nur Fazlizai Ali
Februari 15, 2021 09:20 MYT
Sumami menunjukkan lembu miliknya yang menjadi mangsa harimau belang. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Seorang penternak lembu terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit selepas haiwan ternakannya sering menjadi mangsa harimau belang.
Menurut Sumani Mohamad, kejadian ternakannya diserang pak belang itu telah membelenggunya hampir 10 tahun lalu.
Penternak yang berusia 59 tahun itu berkata, saban tahun pasti ada sahaja ternakannya yang ditempatkan di kandang Kampung Lubuk Periok menjadi mangsa haiwan buas itu.
“Setakat tahun ini sudah dua ekor menjadi mangsa. Selalu dalam setahun, empat hingga enam ekor lembu akan terkorban akibat dibaham harimau belang.
“Sejak saya mula menternak lembu pada 2011, hampir 20 ekor lembu yang berusia dari enam bulan sehingga setahun, telah menjadi mangsa. Keseluruhan jumlah kerugian adalah kira-kira RM40,000,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Sumani lagi, dalam kejadian terbaharu, dua ekor lembu miliknya sekali lagi di baham harimau pada Khamis dan Sabtu lalu.
Jelas Sumani, ketika tiba di kandang kira-kira jam 7 pagi Khamis, dia terkejut melihat seekor lembu rebah dibaham harimau, dan pada hari Jumaat, kejadian yang sama berulang.
Kejadian itu bukan sahaja meresahkan hatinya, malahan menimbulkan kebimbangan ketika dia berada di kandang untuk menguruskan ternakan terbabit.
#harimau #mangsa #lembu #penternak #rugi #Sumani Mohamad
;