Penternak kerugian RM28,000 apabila 40 kambing Boer mati diracun
Bernama
Mei 29, 2020 18:12 MYT
Mei 29, 2020 18:12 MYT
Seorang penternak kerugian kira-kira RM28,000 selepas 40 ekor kambing baka Boer miliknya mati dipercayai akibat diracun dalam kejadian di Kampung Keladang, Salor di sini, semalam.
Penternak terbabit, Rahimie Ibrahim, 50, berkata dia menyedari perkara itu ketika meninjau kawasan padang ragut tempat kambingnya dilepaskan, kira-kira pukul 5 petang semalam.
Rahimie berkata pada awalnya dia hairan kerana tidak ternampak kelibat kambingnya di kawasan itu tetapi selepas meninjau lebih dekat mendapati puluhan kambingnya sudah mati.
"Saya percaya kesemua kambing baka Boer ini mati selepas memakan dedak yang dicampur dengan racun oleh pihak tidak bertanggungjawab. Hanya dua ekor anak kambing yang terselamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, Rahimie berkata dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Nilam Puri di sini, semalam.
Katanya, dia telah membeli padang ragut berkenaan sejak 20 tahun lepas dan telah menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu sejak sekian lama dan kematian ternakan merupakan kali pertama berlaku.
Dia turut berharap agar pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan khianat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
-- BERNAMA