Penternak kelulut rugi akibat banjir

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Mac 3, 2022 11:08 MYT
Yahya menunjukkan lot kelulut yang berjaya diselamatkan ketika rumahnya dilanda banjir. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Ternakan kelulut yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu musnah sekelip mata.
Itu dugaan dihadapi Yahya Yasin, 47, yang terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas 50 lot kelulut miliknya di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu dihanyut air banjir.
Menurut Yahya, paras air yang meningkat mendadak pada Sabtu menyebabkan dia tidak sempat memindahkan lot kelulut berkenaan.
"Kita rasa kita selamat dah letak sini sebab tidak pernah berlaku dengan usia saya 47 tahun saya tidak pernah lihat suasana air begitu dalam.
"Saya rasa saya letak tempat selamat dah, makna saya pun agak terlepas pandanglah," katanya.
Yahya berkata, ekoran bencana itu dia kini hilang sumber pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan tekad untuk bangkit kembali memulihkan ternakan kelulutnya.
"Saya cuba cari ataupun dapat perolehan daripada kawan-kawan lot tapi agak sukar memandangkan sambutan kelulut ini agak tinggi.
"Tapi apa pun kita cuba lah, cuba cari, saya terpaksa bangun, dapatkan semula sumber pendapatan," katanya.
Yahya berkata kediamannya turut terjejas manakala peralatan rumah musnah akibat ditenggelami air banjir setinggi kira-kira tiga meter.
#banjir #kelulut #rugi #Yahya Yasin
;