Penternak diminta memaksimumkan pengeluaran bekalan ayam dan telur
Eton Khir
Februari 10, 2022 18:28 MYT
Februari 10, 2022 18:28 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) menggesa pembekal ayam agar terus memaksimumkan bekalan mereka bagi kembali menstabilkan pengeluarannya di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, bekalan ayam di Malaysia sebenarnya tidak berkurangan malah terdapat banyak lebihan bekalan.
"Kita sebenarnya di Malaysia ini memenuhi kadar sara diri (SSL) yang lebih daripada 100 peratus dari segi bekalan ayam dan telur. Maknanya, pengeluaran kita memenuhi keperluan negara. Kita tidak import ayam dan telur malah kita yang eksport kepada negara jiran.
"Jadi harapkan agar penternak akan terus memaksimumkan kapasiti pengeluaran mereka seperti sediakala, bagi memastikan bekalan ayam di negara kita ini kembali stabil," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Dialog Industri Agromakanan pada Khamis.
Pengumuman subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram semalam diharapkan dapat merancakkan kembali bekalan ayam dan telur di negara ini.
Semalam, kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.
Selain itu, subsidi lima sen sebiji turut diberikan untuk semua jenis kategori telur.